KERAJAAN sedang mencari penyelesaian mengenai had subsidi tenaga termasuk petroleum dan gas yang wajar diberikan kepada industri yang menikmati keistimewaan itu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Rafidah Aziz. Beliau berkata, kementerian sentiasa mengadakan pertemuan dengan wakil industri bagi mendapatkan pandangan dan gambaran jelas mengenai sebarang perubahan terhadap kenaikan harga gas dalam pelbagai sektor yang berbeza. "Ini akan membolehkan kami menasihati jawatankuasa (Kabinet) (berkenaan bahan api) mengenai kesannya dan baginya untuk membuat keputusan mengenai bentuk tindakan," katanya pada sidang media selepas melancarkan butik Schoeffel di Kuala Lumpur, semalam.
Rafidah berkata, industri telah diberikan amaran terlebih dulu untuk bersiap sedia berdepan harga gas realistik yang ditetapkan dan dinasihatkan membuat perubahan sewajarnya kepada operasi mereka. Katanya, selain menyepadukan gas dengan sumber tenaga yang lain sebagai satu alternatif, industri mestilah cekap dalam penggunaan gas. Beliau berkata, kerajaan tidak wajar terus menanggung beban subsidi tenaga termasuk petroleum dan gas, tanpa sebarang had.
Katanya, subsidi diberikan kerajaan perlu ditetapkan pada had tertentu dan harga selebihnya mencerminkan kos sebenar kepada industri. "Inilah yang dilakukan kerajaan dengan mengambil kira kos yang ditanggung industri dan berapa kerajaan boleh berikan subsidi.... Bukan kerajaan tidak mampu, tetapi tidak realistik. "Apabila harga di dunia meningkat, kita tidak boleh menjangkakan harga di pasaran tempatan terlalu rendah di luar lingkungan harga sebenar dunia," katanya ketika ditanya sama ada kerajaan sudah tidak lagi mampu untuk memberi subsidi. Rafidah berkata, ketika ini kementeriannya sedang menjalankan penilaian dan kajian terhadap pandangan diterima daripada peserta industri.
Tuesday, October 9, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment