Wednesday, September 5, 2007

Malaysia sasar sejuta tan biodiesel

BANGI: Malaysia mensasarkan pengeluaran satu juta tan biodiesel berasas sawit pada 2007 ini dengan sebahagian besar produk itu akan dieksport ke luar negara. Pada 2006 Malaysia mengeluarkan kira-kira 400,000 tan biodiesel.

Setiausaha Parlimen, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr S Vijayaratnam, berkata sasaran itu berdasarkan kepada perkembangan dan anggaran pengeluaran bahan bakar bio itu menerusi lima kilang yang sudah dan akan beroperasi pada masa ini dan tidak lama lagi.” Tiga daripada kilang itu adalah usaha sama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) iaitu Golden Hope Plantations Bhd, Kumpulan Fima Bhd dan Carotino Sdn Bhd. Manakala dua lagi adalah Ganz Biofuel Sdn Bhd dan Vance Bioenergy Sdn Bhd. Vijayaratnam berkata, produk itu dijangka dieksport ke Eropah, China, Jepun, Korea dan Australia kerana permintaan antarabangsa ke atas biodiesel sangat tinggi terutama di Eropah dan Amerika Syarikat. “Sehingga November 2006, kerajaan sudah memberi kelulusan lesen kepada 75 syarikat tempatan dan antarabangsa untuk membina kilang dan mengeluarkan biodiesel yang membabitkan pelaburan bernilai RM7.01 bilion,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Biofuel Antarabangsa dan Tenaga Alternatif anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (asli) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Turut hadir Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Sabri Ahmad yang dilantik mulai 1 Januari lalu dan Ketua Eksekutif Asli, Datuk Dr Michael Yeoh. Daripada jumlah pelaburan itu, kata Vijayaratnam, RM4.87 bilion atau 69 peratus adalah pelaburan tempatan, manakala baki RM2.14 bilion (21 peratus) pelaburan luar negara terutama dari Australia, Singapura, India, Itali, Amerika Syarikat dan Jepun.Terdahulu, Najib dalam ucapan yang dibaca oleh Vijayaratnam berkata, produk sawit menyumbang RM27 bilion kepada eksport negara dengan 80 peratus daripadanya digunakan sebagai pengeluaran produk makanan manakala bakinya digunakan untuk pengeluaran produk bukan makanan terutamanya dalam industri berkaitan oleokimia.“Kerajaan juga membayangkan Malaysia akan mengurangkan import petroleum diesel sebanyak 500,000 tan setahun sejajar dengan pengembangan pengeluaran produk biodiesel dalam negara.“Kerajaan meluluskan Polisi Biofuel Nasional dengan tiga matlamat utama iaitu mengeluar dan mengguna biofuel untuk sektor pengangkutan dan industri, pengeluaran biofuel untuk eksport dan pengkomersilan teknologi biofuel,” katanya. – mjohari@mpob.gov.my

by nurul hidayah sulong

No comments: