Oleh Habibah Omar
PUTRAJAYA 28 Jun – Pembinaan bangunan baru kerajaan perlu dilengkapi dengan sistem penggunaan tenaga yang cekap bagi memastikan pembangunannya dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, untuk itu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu menerapkan aspek tersebut dalam reka bentuk bangunan.
Katanya, ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan bajet tahun lalu agar bangunan kerajaan dapat mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 10 peratus.
“Setakat ini saya belum melihat sebarang usaha dijalankan untuk mencapai matlamat berkenaan (mengurangkan tenaga sebanyak 10 peratus).
“Saya harap jabatan kerajaan, JKR dan Putrajaya Holdings mempertimbangkan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri pada bulan Oktober tahun lalu.
“Peranti penjimatan tenaga boleh dibeli dan ditambah kepada sistem di mana-mana bangunan untuk menjimatkan tenaga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Suruhanjaya Tenaga di Presint 2 di sini hari ini.
Bangunan itu dijangka siap pada 2009 dengan menggunakan beberapa pendekatan cekap tenaga akan diambil, antara dengan mengoptimumkan arah bangunan, memaksimumkan pembauran cahaya siang, penggunaan lampu dengan kecekapan tinggi serta pemasangan sistem penyejuk cekap tenaga.
Mengulas lanjut, Keng Yaik berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan audit tenaga ke atas tujuh bangunan kerajaan termasuk JKR, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Hospital Selayang serta Kem Tentera di Jalan Ipoh berhubung kecekapan tenaga.
Audit tenaga itu dikendalikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha II kementerian berkenaan, Loo Took Gee.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, Keng Yaik memberitahu beliau tidak akan bertanding.
“Saya kena merancang untuk tenaga elektrik. Saya mempunyai 10 tahun untuk merancang. Saya merancang sekarang tapi pelaksanaan dalam 10 tahun akan datang.
“Mana ada masa, tapi saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Sementara itu Took Gee berkata, audit tenaga itu dijangka siap pada September ini dan laporan mengenainya akan dibentangkan ke Kabinet untuk membolehkan bangunan-bangunan kerajaan dibina dengan menggunakan sistem penggunaan tenaga yang cekap.
“Kita akan cadangkan pada kerajaan supaya di masa depan bila bina bangunan, aspek penjimatan tenaga dapat dijalankan kerana selama ini ia tidak dipandang serius disebabkan kadar elektrik yang rendah,” katanya.
(post by Rosehanizar mohd Radzi)
Friday, September 7, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment