Tuesday, July 31, 2007

Fuel Cell Sebagai Penghasil Energi Abad 21

Kemajuan teknologi yang sangat cepat, menuntut penyediaan energi yang makin banyak, untuk industri maupun kebutuhan energi penggerak kendaraan, mengingat makin mendesaknya tuntutan tersebut, maka selalu dicari cara-cara untuk memanfaatkan energi yang sudah tersedia sebaik mungkin, sehingga energi yang terbuang dapat makin berkurang, hal ini dapat dilakukan dengan meningkatkan penggunaan energi tersebut se-efisien mungkin.Keterbatasan cadangan minyak bumi merupakan salah satu pertimbangan untuk mencari energi atau alat yang baru yang dapat mengolah minyak se maksimal mungkin. Kendala yang ditimbulkan oleh energi minyak, yaitu mengakibatkan proses ekologi yang tidak menguntungkan menyebabkan perlu dikembangkannya pemanfaatan energi yang lain.Fuel cell merupakan salah satu jalan keluar dari berbagai-bagai kendala yang sudah ada, yaitu pengolahan energi dengan cara listrik-kimiawi, dengan menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar dan oksigen pembakarnya. Percobaan dan penelitian yang telah dilakukan sejak pertengahan abad 20, telah memberikan cukup banyak masukan yang positif, sehingga dapat dinyatakan bahwa fuel cell akan memberikan harapan untuk abad yang baru ini. (sharifah norazira)

Monday, July 30, 2007

Program bangunkan tenaga suria dilancar

PUTRAJAYA 22 Jun – Kerajaan hari ini melancarkan program Suria 1,000 Kebangsaan sebagai satu inisiatif untuk merancakkan pembangunan sumber tenaga daripada cahaya matahari di bawah Projek Bangunan Bersepadu Photovoltaic Malaysia (MBIPV).

Melalui program itu, kerajaan mengimpikan premis kediaman dan bangunan komersial di negara ini dilengkapi sistem bangunan bersepadu photovoltaic (BIPV) bagi menghasilkan tenaga elektrik daripada cahaya suria.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, adalah menjadi visi beliau untuk melihat rumah-rumah dan pejabat-pejabat dilengkapi dengan sistem bumbung BIPV bagi menjana sumber tenaga elektrik diperbaharui.

‘‘Saya gelarkannya sebagai Wawasan Suria. Saya mahu melihat Malaysia menjadi hab penggunaan tenaga solar dan saya yakin usahawan-usahawan tempatan boleh menyumbang kepada usaha meningkatkan teknologi tenaga suria di negara ini.

‘‘Adalah satu tanggungjawab kerajaan mencari cara baru yang lebih efektif bagi mengurangkan kebergantungan kita pada gas asli dan juga subsidi tenaga bahan bakar,” katanya dalam ucapan pelancaran program berkenaan, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Suria 1,000 Kebangsaan merupakan program di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dilaksanakan oleh Pusat Tenaga Malaysia (PTM) dan disokong oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF).

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan program Suria 1,000 adalah selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menandatangani Protokol Kyoto untuk menangani masalah pemanasan global.

Katanya, bagi mencapai matlamat Wawasan Suria, sebanyak 14 pemilik rumah daripada 39 permohonan, dipilih menerima rebat khas bernilai hampir RM900,000 bagi memasang sistem BIPV.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan rebat sejumlah RM11 juta bagi rakyat negara ini untuk memasang sistem BIPV di rumah mereka.

‘‘Secara kolektif, kesemua 14 rumah itu akan mampu mendapatkan sejumlah 58 kilowatt (KW) tenaga solar yang boleh menjana sekitar 1.67 gigawatt per jam (GWh) tenaga elektrik diperbaharui bagi tempoh 25 tahun akan datang, sekali gus mampu mengurangkan 1,000 tan pelepasan gas karbon dioksida.

‘‘Tenaga elektrik solar itu kemudian akan dijual kepada syarikat utiliti di bawah skim ‘net-metering’,” katanya.

Abdullah berkata, pemaju yang membangunkan kawasan perumahan yang dilengkapi oleh sistem BIPV pula bakal mendapat insentif di bawah MBIPV.

Katanya, satu atau dua pemaju bakal dipilih bagi menerima rebat khas bernilai lebih RM3 juta bagi membina 70 unit rumah BIPV.

Sampah jadi sumber tenaga baru


SETIAP orang pada setiap hari, membuang sebarang jenis sampah di antara 0.8 hingga 1.2 kilogram. Itu adalah profil pembuangan sampah di negara ini yang direkodkan oleh ENSEARCH iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Malaysia yang berusaha untuk menerapkan sikap cintakan alam sekitar di segenap lapisan masyarakat Malaysia.
Kalau trend itu diambil kira, secara matematiknya pula, bayangkan bagi setiap rumah minimum kapasiti hanya tiga orang dan didarab pula dengan kira-kira 27 juta penduduk di negara ini.
Tidakkah angka ‘sampah’ itu menakutkan kita?
Dikatakan juga, jumlah sampah yang dibuang di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara setiap tahun boleh memenuhi ruang dalam bangunan Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter itu dalam masa tidak sampai seminggu.
Adalah tidak mustahil jika kita diliputi sampah atau hidup di celah-celah sampah satu hari nanti jika tiada langkah pencegahan dan kesedaran mengenai cara pelupusan sisa yang teratur lagi berkesan?
Daripada kajian yang dibuat, sebanyak 19,000 tan metrik sampah dibuang pada tahun 2005. Ia tidak mustahil meningkat pada tahun lepas memandangkan trend kitar semula semakin sepi dan tidak diamalkan oleh sebahagian besar daripada masyarakat kita.
Daripada jumlah 19,000 tan metrik itu, 45 peratus daripadanya ialah sisa makanan, 24 peratus adalah plastik, kertas (7 peratus), besi (6 peratus) dan kaca (3 peratus).
Apa maknanya peratusan itu semua? Itulah yang membawa pula kepada tabiat kitaran semula. Kalau kita mengamalkan kitar semula, kita boleh menjimatkan kira-kira 55 peratus sampah itu – selain sisa makanan.
Sikap tidak ingin kitar semula inilah antara sebab utama mengapa kita dilanda masalah pembuangan sampah dan pencemaran. Dan mahu diterima atau tidak, sikap inilah yang hendak kita kikis dari hati rakyat Malaysia.
Secara mudahnya, semakin banyak sampah dibuang, semakin banyak ruang yang diperlukan. Ini adalah akibat dari pembuangan sampah yang berlebihan oleh kita sendiri, dari rumah kita juga.
Bayangkan 0.8 hingga 1.2 kilogram itu, yang paling banyak ialah lebihan nasi, lauk-pauk dan sayur-sayuran.
Kita barangkali tidak mungkin dapat menghalang pembuangan sampah, tetapi kita boleh mengurangkan jumlahnya. Itu hakikat.
Caranya tidak lain tidak bukan, dengan kitar semula. Kita akui juga bahawa kempen kitar semula boleh sahaja dianggap gagal kerana ia tidak berjaya dilakukan secara meluas. Benar, ada yang mengamalkan kitar semula, tetapi tidak cukup untuk membantu mengurangkan jumlah sisa sampah. Kalau ada yang mendakwa kempen kitar semula sebelum ini gagal, pernahkah yang mendakwa itu duduk berfikir sejenak tanpa mempersalahkan sesiapa apa yang mengagalkannya?
Dalam hal ini, ada yang menyatakan tiada tindakan susulan selepas setiap kempen yang digerakkan menyumbang kepada kecundangnya kempen, tanpa mengecualikan kempen kitar semula.
Masing-masing mengharapkan ada orang lain yang memikul tugas menyedarkan masyarakat tentang perlunya sampah dikitar semula. Itulah masalahnya.
Yang jelas, ini mengakibatkan orang ramai tidak dapat menghargai kepentingan dan faedah mengitar semula. Masyarakat tidak boleh dipersalahkan kalau mereka tidak mahu bekerjasama menjayakan kempen kitar semula. Kalau tidak ada kemahuan, tidak akan ada jalan. Begitulah.
‘‘Meminta orang menukar gaya hidup yang sudah sebati dalam diri mereka turun-temurun, apa yang boleh diharapkan setakat menjual air liur mengajak orang mengitar semula,’’ kata seorang rakan, seorang pengamal kitar semula yang jelas amat kesal dengan kegagalan kempen kitar semula.
Menukar
Seperti yang diketahui, Kempen Kitar Semula pertama kali dilaksanakan pada tahun 1993, ia digerakkan semula pada tahun 2000 dengan menukar sedikit pendekatan iaitu memberi sentuhan ‘warna’ untuk setiap benda yang harus dikitar – jingga untuk aluminium dan plastik, coklat untuk kaca dan botol, biru untuk kertas.
Entah di mana silap, ia juga tidak ke mana, selepas acara potong reben dan gelak ketawa dalam majlis meriah, orang masih lagi tidak kitar semula. Dalam hal ini, berbuih mulut NGO alam sekitar mempromosikan kebaikannya dan tidak sedikit laporan mengenai kitar semula disiarkan dalam media cetak dan elektronik. Sedihnya, masyarakat kita belum biasa dengan kitar semula, yang biasa ialah membuang sampah di dalam sungai.
Memandangkan pentingnya kitar semula dan dapat dilihat rendahnya tahap kesedaran tentang amalan yang satu itu, ENSEARCH tampil mengadakan satu persidangan dan pameran mengenai pengurusan sisa yang membawa tema sisa sebagai sumber.
Persidangan dan Pameran Sisa ENSEARCH 2007 akan menjadi medan pembentangan kertas-kertas kerja yang menumpukan kepada kitar semula, teknologi serta amalan-amalan berkesan dalam pengurusan sisa dan pembangunan kapasiti.
Suka diingatkan bahawa ia adalah persidangan tahunan kali ketujuh dianjurkan oleh ENSEARCH.
‘‘Ia yang akan berlangsung pada 7 hingga 8 Ogos ini adalah platform yang tepat bagi membincangkan senario tentang sisa dan sampah ini.
‘‘Sebanyak 22 lot pameran juga cuba membuat sorotan dengan tidak lari daripada hal-hal kitar semula dan kesedaran tentang kepentingannya,’’ kata pegawai projeknya, Suganya Sudanathan dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabat ENSEARCH di Kota Damansara baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, beliau tidak boleh lari daripada bercakap dan berbual mengenai kitar semula serta apa yang dipanggil 3R (Reduce, Reuse, Recycle).
Kitar semula bermakna menggunakan semula barangan tersebut atau memproses barangan tersebut untuk dijadikan bahan seperti yang asal atau sebaliknya, dengan erti lain tidak membuangnya begitu sahaja.
Proses ini boleh mengurangkan sampah kita sebanyak dua juta tan metrik.
Sampah kita terdiri dari pelbagai bahan antaranya sisa buangan dari kawasan kediaman, komersial, perindustrian dan pertanian.
Kebanyakan daripada sisa pembuangan ini akan berakhir di kawasan pelupusan sampah, yang kemudian dilupuskan dengan dua cara utama iaitu pembakaran atau penimbunan. Pembakaran, jika dilakukan secara terbuka dan tidak terkawal boleh menyebabkan pencemaran udara.
Sementara penimbunan pula perlu dilakukan secara terkawal untuk mengelakkan masalah seperti haiwan perosak, penyakit, pencemaran bekalan air dan pencemaran bau.
Secara individu kita boleh membantu dalam mengatasi masalah peningkatan pembuangan sampah. Kita perlu membuka minda untuk menerima pengetahuan ini dan menjadikan ia satu amalan hidup yang sihat untuk diri, keluarga dan alam sekitar.
‘‘Kita boleh mengurangkan pembuangan sampah dengan memahami konsep 3R,’’ kata Suganya lagi.
Pengurangan atau reduce bermakna boleh mengelakkan barangan yang mempunyai banyak pembalut. Alternatifnya, boleh membeli barangan di mana bekasnya boleh diguna semula. Di sini pentingnya kita mengurangkan penggunaan beg plastik. Begitu juga dengan kertas tisu, sebaliknya boleh menggunakan tuala yang boleh dibasuh dan dipakai balik, berbanding tisu, dibuang menjadi sampah.
Paling mudah penggunaan semula atau reuse ialah kita lakukan di rumah dengan cuba mengelak daripada membuang beg plastik sebaliknya guna semula untuk mengisi barangan lain manakala proses kitar semula penting untuk mengurangkan tekanan terhadap bahan mentah semula jadi seperti penebangan pokok untuk menghasilkan kertas.
Selain itu, ia dapat mengurangkan penggunaan tenaga, air serta pencemaran air dan udara.
Sebagai contoh, kaca yang dikitar semula berulang kali boleh mengurangkan 50 peratus penggunaan air manakala kitar semula kertas dapat menjimatkan 70 peratus tenaga.
Kitar semula aluminium, kertas dan kaca, masing-masing dapat mengurangkan pencemaran sebanyak 95 peratus, 50 peratus dan 14 peratus.
Perkara-perkara tersebut akan dibincangkan pada persidangan satu setengah hari itu nanti.
Dalam pada itu, Suganya melihat, program pendidikan adalah kunci kejayaan kempen kitar semula.
‘‘Kita tidak boleh harap sediakan tong berwarna-warni untuk asingkan sampah dan harap orang akan guna. Kita perlu usaha lebih daripada itu,’’ katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya penguatkuasaan terhadap kegiatan membuang sampah di tempat terbuka dan kawasan larangan diberi perhatian yang lebih serius. Sambil menyebut Singapura sebagai contoh, katanya, penguatkuasaan yang tegas berjaya menanam tabiat yang baik.
‘‘You pollute, you pay,’’ katanya sebelum menambah barangkali itulah yang boleh membantu memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang tabiat tidak baik membuang sampah ini.
Ditanya perlu atau tidak mata pelajaran alam sekitar itu diajar di sekolah beliau berkata: ‘‘Berdasarkan pengalaman, kempen pendidikan tidak harus ditumpukan kepada kanak-kanak sahaja.
‘‘Memang betul mereka mudah dibentuk tetapi apa maknanya kalau mereka melihat amalan yang tidak baik daripada keluarga sendiri. Ia mesti dua-dua, kanak-kanak dan orang dewasa.’’
Jelas beliau, mengubah sikap manusia adalah kerja yang paling sukar. ‘‘Tetapi kalau sekali mereka mula (kitar semula), ia menjadi satu tabiat. Kalau mereka berhenti, mereka akan rasa bersalah.”
Mahu tidak mahu, kempen ini harus digerakkan sekarang kerana keadaan yang sudah semakin mendesak.
Kejayaan kempen ini banyak bergantung kepada kerjasama semua pihak – kerajaan, swasta dan anggota masyarakat.
Laman web untuk persidangan dan ENSEARCH boleh dilayari di alamat www.ensearch.org.

Wednesday, July 18, 2007

This is Group 10's Blog

Group 10 will be responsible for issues related to energy and environment. We are still in the process of constructing our blog. Please be patient!