Monday, July 30, 2007

Program bangunkan tenaga suria dilancar

PUTRAJAYA 22 Jun – Kerajaan hari ini melancarkan program Suria 1,000 Kebangsaan sebagai satu inisiatif untuk merancakkan pembangunan sumber tenaga daripada cahaya matahari di bawah Projek Bangunan Bersepadu Photovoltaic Malaysia (MBIPV).

Melalui program itu, kerajaan mengimpikan premis kediaman dan bangunan komersial di negara ini dilengkapi sistem bangunan bersepadu photovoltaic (BIPV) bagi menghasilkan tenaga elektrik daripada cahaya suria.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, adalah menjadi visi beliau untuk melihat rumah-rumah dan pejabat-pejabat dilengkapi dengan sistem bumbung BIPV bagi menjana sumber tenaga elektrik diperbaharui.

‘‘Saya gelarkannya sebagai Wawasan Suria. Saya mahu melihat Malaysia menjadi hab penggunaan tenaga solar dan saya yakin usahawan-usahawan tempatan boleh menyumbang kepada usaha meningkatkan teknologi tenaga suria di negara ini.

‘‘Adalah satu tanggungjawab kerajaan mencari cara baru yang lebih efektif bagi mengurangkan kebergantungan kita pada gas asli dan juga subsidi tenaga bahan bakar,” katanya dalam ucapan pelancaran program berkenaan, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi.

Suria 1,000 Kebangsaan merupakan program di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dilaksanakan oleh Pusat Tenaga Malaysia (PTM) dan disokong oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF).

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan program Suria 1,000 adalah selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menandatangani Protokol Kyoto untuk menangani masalah pemanasan global.

Katanya, bagi mencapai matlamat Wawasan Suria, sebanyak 14 pemilik rumah daripada 39 permohonan, dipilih menerima rebat khas bernilai hampir RM900,000 bagi memasang sistem BIPV.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan rebat sejumlah RM11 juta bagi rakyat negara ini untuk memasang sistem BIPV di rumah mereka.

‘‘Secara kolektif, kesemua 14 rumah itu akan mampu mendapatkan sejumlah 58 kilowatt (KW) tenaga solar yang boleh menjana sekitar 1.67 gigawatt per jam (GWh) tenaga elektrik diperbaharui bagi tempoh 25 tahun akan datang, sekali gus mampu mengurangkan 1,000 tan pelepasan gas karbon dioksida.

‘‘Tenaga elektrik solar itu kemudian akan dijual kepada syarikat utiliti di bawah skim ‘net-metering’,” katanya.

Abdullah berkata, pemaju yang membangunkan kawasan perumahan yang dilengkapi oleh sistem BIPV pula bakal mendapat insentif di bawah MBIPV.

Katanya, satu atau dua pemaju bakal dipilih bagi menerima rebat khas bernilai lebih RM3 juta bagi membina 70 unit rumah BIPV.

No comments: