Wednesday, September 19, 2007

Minda Pengarang: Dasar guna tenaga lebih komprehensif patut dirangka

SATU mekanisme khas akan diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan miskin, khususnya nelayan sebelum subsidi diesel dimansuhkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin berkata, mekanisme itu masih pada peringkat perbincangan dan sedang diperhalusi bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah kepada pengguna bahan api berkenaan jika subsidinya dimansuhkan. Kerajaan akan memastikan sebarang keputusan nanti tidak akan menyebabkan nelayan menanggung beban, manakala pihak yang menganggap subsidi itu membuka ruang untuk penyeludupan dan merugikan negara, juga berpuas hati. Kita berharap kajian mendalam itu turut melihat subsidi yang diberikan kepada industri lain kerana jumlah diesel digunakan nelayan tidak sebesar diesel digunakan industri berat. Baru-baru ini, Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Prof Datuk Dr Ismail Salleh menyarankan kerajaan memansuhkan subsidi diesel bagi menangani penyelewengan dan penyeludupan bahan api itu yang semakin berleluasa hingga menyebabkan negara mengalami kerugian besar. Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan ia akan meneruskan pemberian subsidi diesel kepada nelayan dan industri berikutan sektor terbabit masih memerlukan bantuan kerajaan bagi meneruskan operasi. Kita berpendapat pihak berkuasa perlu merangka dasar penggunaan tenaga yang lebih kondusif supaya pemberian subsidi kepada industri yang mencatat keuntungan berjuta-juta ringgit setiap tahun itu dapat dihentikan. Dasar yang komprehensif itu harus merangkumi segala aspek berkaitan penggunaan tenaga, termasuk polisi ke arah mendidik rakyat menjimatkan penggunaan tenaga dalam kegiatan seharian. Industri tempatan seharusnya mengambil langkah menjimatkan penggunaan tenaga, sekali gus mengurangkan kos mereka supaya lebih kompetitif di pasaran. Subsidi pula harus dihadkan kepada golongan benar-benar memerlukan seperti nelayan dan petani. Kita percaya jika subsidi kepada industri ini dihentikan, barulah mereka mencari jalan untuk menjimatkan kos supaya lebih berdaya saing. Memang benar sesetengah industri memerlukan bantuan kerajaan pada peringkat permulaan, tetapi kebanyakan industri yang menikmati subsidi sekarang sudah wujud berpuluh-puluh tahun. Jika dulu, mereka mungkin menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, tetapi kini jika mereka tidak menggunakan mesin sepenuhnya, mereka mengaji rakyat asing kerana upahnya lebih rendah. Matlamat kerajaan mencapai pembangunan sosioekonomi lebih seimbang sukar dicapai selagi subsidi ini diteruskan. Tahun lalu misalnya, kerajaan meraih penjimatan subsidi RM900 juta selepas menaikkan harga minyak berbanding jangkaan penjimatan RM4.4 bilion. Untuk berapa lama lagi kerajaan terpaksa menanggung beban bagi mengekalkan harga petroleum? Subsidi tidak menggalakkan kecekapan dan pemuliharaan, sekali gus memerlukan penyelesaian. Malangnya setiap kali kerajaan mahu menurunkan subsidi, kalangan industrilah yang membantah dengan pelbagai alasan. Anehnya keadaan sama tidak berlaku di negara lain. Satu perkara yang pasti ialah bekalan sumber minyak dan gas dalam negara semakin habis, malah mungkin lebih cepat daripada tempoh jangkaan jika kadar penggunaan dalam negara terus meningkat. Hakikat Malaysia menjadi pengimport bersih minyak menjelang 2010 tidak dapat dielakkan jika permintaan domestik bagi produk petroleum terus meningkat pada kadar empat peratus setahun. Oleh itu, sementara kita menunggu mekanisme khas dirangka bagi membantu golongan miskin, semua pihak, terutama industri tempatan perlu berusaha mengambil langkah proaktif menjimatkan penggunaan tenaga.

by nurul hidayah sulong

No comments: