Friday, September 7, 2007

Ruang kediaman bagaikan galeri elektrik

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

GAYA hidup moden seringkali dikaitkan dengan perkakasan dan kelengkapan rumah yang bukan hanya tinggi kualitinya, malah tampil menawan dari segi reka bentuknya.
Bukan sesuatu yang sukar juga untuk mencari kelengkapan rumah dengan ciri-ciri itu sementelah pelbagai inovasi dan penyelidikan dijalankan bagi menghasilkan peralatan elektrik yang menepati gaya hidup moden.

Salah satunya adalah rangkaian produk perkakasan rumah yang ditawarkan oleh syarikat yang terkenal dengan tagline Life‘s Good iaitu LG Electronics (LG).
LG tampil dengan peti sejuk dan mesin basuh bermotifkan corak bunga menarik yang pastinya membangkitkan seri kediaman pemiliknya.
Ia hadir dalam pilihan warna yang menawan antaranya merah, biru, perak, putih, merah jambu dan hitam sekali gus menggantikan kebiasaan warna perak mesin basuh dan peti sejuk ketika ini.

‘‘Bagi produk mesin basuh misalnya, ia didatangkan dengan kelebihan teknologi penjana stim atau wap yang tidak hanya berfungsi mencuci pakaian malah sehingga mengeringkannya dalam masa bekerja yang sama,’’ ujar beliau ketika ditemui di ibu pejabat LG di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Teknologi itu juga tambah Nikki membolehkan pengguna menjimatkan kira-kira 35 peratus penggunaan air dan 21 peratus tenaga elektrik dalam masa yang sama bekerja secara mesra alam terutamanya dari segi pelepasan air kumbahan yang sedikit.

Program Refresh mesin basuh itu barangkali menjadikannya lebih istimewa apabila ia mampu mengurangkan kesan renyuk pada kain dalam masa kira-kira 20 minit dan menjadikan pakaian seolah-olah baru diseterika.
Ia hadir dalam dua pilihan berat muatan iaitu 10 dan 12 kilogram namun mesin basuh dengan corak bunga untuk pasaran Malaysia hanya ditawarkan dalam warna merah dan perak dengan muatan 12 kilogram.
Turut menampilkan kelainan reka bentuk dalam kelasnya yang tersendiri ialah peti sejuk Side by Side LG yang sememangnya direka untuk menjadikan ruang kediaman seolah-olah sebuah pusat galeri.

Menggunakan teknologi percetakan kaca unik, corak motif bunga pada peti sejuk itu juga berjaya membangkitkan kesan khas tiga dimensi (3D) untuk sudut pandangan yang lebih jelas dan menarik.
Didatangkan dengan mini bar pada bahagian permukaan luarnya, ia boleh dibuka dengan semudah menekan dengan perlahan bahagian pintu luarnya dan ia boleh menampung sehingga 20 kilogram bebanan.
Turut mencuri tumpuan ialah ruangan penghasilan ais yang mana pengguna hanya perlu memasukkan air secara terus ke dalam ruang yang disediakan dan ais juga boleh didapati pada bahagian permukaan pintu yang dibina bersebelah mini bar.
Sama seperti model Side by Side, beberapa model terbaru peti sejuk LG yang lain turut hadir dengan inovasi reka bentuk dan teknologi terkini antaranya binaan pepenjuru yang tersembunyi.

Lebarnya juga kira-kira lima inci lebih kecil berbanding peti ais biasa bersaiz 40 inci lebar sekali gus memudahkan ia ditempatkan di mana-mana sudut ruang dapur malah, enjinnya juga beroperasi secara senyap.
Setiap ruang yang dibina pada bahagian dalaman peti ais itu juga didatangkan dengan kelebihan tersendiri sebagai contoh dua bahagian laci paling bawah dengan kemampuan dwi fungsi sama ada untuk menyimpan sayur-sayuran atau daging.
Kesemua model terbaru mesin basuh dan peti ais LG itu yang akan berada di pasaran selewat-lewatnya September ini dijual pada harga di antara RM4,000 hingga RM7,000.
Melengkapkan gaya hidup moden daripada LG ialah rangkaian penghawa dingin terbaru mereka yang dipertingkatkan dengan teknologi terkini iaitu sistem Air Purifying dan fungsi Auto Clean.

Apa yang mengagumkan daripada teknologi terbaru ini, ia mampu mengurangkan penembusan virus selesema burung sehingga 99.9 peratus sekali gus muncul penghawa dingin pertama di dunia dengan kelebihan tersebut.
Sistem terbaru Neo Plasma Plus Air Purifying itu dilengkapi dengan multi penapis dan fungsi pembersihan sendiri yang dibangunkan kepada dua model terbaru mereka iaitu siri Art Cool dan Neo Plasma Plus.
Ia turut dibangunkan dengan fungsi pembersihan automatik yang akan mengeringkan haba pertukaran yang basah sekali gus menghalang habuk dan bakteria tersebar ke udara.
Rangkaian produk terbaru pendingin hawa LG ini sudah berada di pasaran dan dijual pada harga di antara RM1,399 hingga RM3,199.

Maklumat lanjut mengenai rangkaian produk perkakasan rumah yang ditawarkan oleh LG boleh didapati dengan menghubungi talian 03-7491 2888 atau layari laman web www.lge.com.my

(post by Rosehanizar Mohd Radzi & Noor Sakinah)

No comments: