Showing posts with label posted by izzatul husna mat noh. Show all posts
Showing posts with label posted by izzatul husna mat noh. Show all posts

Wednesday, October 31, 2007

Karbon dioksida 100% di atmosfera bumi 2100

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Paras karbon dioksida di ruang atmosfera bumi dijangka meningkat 100 peratus menjelang tahun 2100, mengakibatkan permukaan bumi bertambah panas, kata Pensyarah University of California, Amerika Syarikat, Profesor ML Kavvas.
Menurutnya, karbon dioksida terhasil melalui pembakaran fosil, pernafasan manusia serta haiwan dan ia merupakan salah satu elemen gas rumah hijau.
Beliau memberitahu, selain suhu bumi bertambah akibat pengeluaran karbon dioksida itu, keseimbangan tenaga bumi juga dijangka tidak stabil sehingga menyebabkan berlakunya bencana alam.
‘‘Sekarang, kita sudah mempunyai peningkatan karbon dioksida di atmosfera sebanyak 21 peratus dan ia akan meningkat secara perlahan.
‘‘Suhu permukaan bumi pula menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5 darjah celsius,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Perubahan Cuaca dan Sumber Air dalam Persidangan Serantau Mengenai Perubahan Iklim di sini hari ini.
Kavvas menambah, model pengiraan am (GCM) yang dikeluarkan pada 1995 mendapati iklim dunia berubah secara perlahan-lahan dan paras karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera bumi meningkat sebanyak satu peratus setahun.
Di Malaysia, beliau memberitahu, aliran sungai di seluruh negara tidak akan berubah berdasarkan keadaan simulasi hidroklimatik yang disukat pada 1984 hingga 1993 kecuali di Kelantan dan Pahang.
Jelasnya, kedua-dua negeri itu akan mempunyai aliran sungai yang deras dan berubah-ubah pada masa akan datang pada tahun 2025 hingga 2034 dan 2041 hingga 2050.
Ini kerana terdapat legeh di sungai-sungai negeri itu yang tidak lagi dapat menampung jumlah aliran air yang deras setiap kali musim tengkujuh sehingga merubah permukaan aliran sungai tersebut.

Negara maju ditegur tidak salur kepakaran tangani iklim

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Negara-negara maju ditegur kerana tidak mengamalkan pasaran terbuka dan enggan menyalurkan kepakaran teknologi mereka bagi menangani masalah perubahan iklim dunia di negara-negara membangun.
Pengarah Urusan Sustainable Technology Resource Centre (STREC), Chow Kok Kee berkata, kebanyakan negara maju memiliki kepakaran itu, tetapi bersifat sombong dan enggan menjualnya di pasaran terbuka selain meletakkan harga yang terlalu tinggi.
Jelasnya, tidak salah untuk menjual kepakaran yang dimiliki tetapi negara-negara maju perlu juga memikul tanggungjawab sosial dengan memberi insentif kepada negara-negara membangun dan miskin yang tidak berkemampuan untuk memiliki kepakaran berkenaan.
‘‘Isu perubahan iklim dunia bersifat sejagat dan mereka perlu memberi perhatian terhadap isu tersebut.
‘‘Mereka (negara-negara maju ) boleh memperkenalkan kaedah pembelian teknologi itu melalui skim rebat, pinjaman dengan kadar faedah yang rendah, ansuran dan sebagainya bagi membolehkan semua negara memiliki kepakaran berkenaan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk Perhatian Terkini Terhadap Penyelesaian Perubahan Iklim Antarabangsa pada Persidangan Mengenai Perubahan Iklim di sini hari ini.
Persidangan selama dua hari yang bermula semalam dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Tinggi Britain.
Seramai 350 peserta dari seluruh negara ASEAN hadir pada persidangan tersebut.
Kok Kee menambah, sekiranya semua negara memiliki kepakaran dan teknologi dalam menangani perubahan iklim dunia, maka pengeluaran gas rumah hijau dapat dikurangkan.
Katanya, pelaksanaan dan tindakan untuk mengurangkan gas berkenaan bergantung kepada keupayaan sesebuah negara.
“Jika sesebuah negara itu mundur dan kurang membangun, mereka akan terlewat menerima kepakaran teknologi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera bumi,’’ ujarnya.

PRECIS tawar teknologi kendali perubahan iklim

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Negara-negara membangun tidak perlu lagi merintih untuk mendapatkan teknologi pengendalian perubahan iklim dunia, sebaliknya boleh merujuk kepada perisian yang dinamakan Kajian Penyediaan Impak Iklim Serantau (PRECIS).
PRECIS dibangunkan oleh Pusat Hedley, Met Office, Exeter di United Kingdom.
Menurut pakar teknologi maklumatnya, David Hein, perisian itu boleh diperoleh secara percuma menggunakan operasi sistem LINUX.
Jelasnya, perisian serba guna itu boleh digunakan di mana-mana bahagian dunia bagi mengukur keadaan iklim dan cuaca.
‘‘Perisian ini turut mengandungi pengiraan matematik terhadap ketinggian serta jumlah kekerapan selain mampu menunjukkan keadaan atmosfera dan permukaan bumi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Unjuran Terperinci Iklim Terhadap Kemusnahan dan Impak Penggunaan Model PRECIS dalam Persidangan Serantau Mengenai Perubahan Iklim di sini hari ini.
Menurut Hein, pihaknya turut menganjurkan bengkel penggunaan teknologi dalam menangani perubahan iklim untuk negara-negara membangun.
Katanya, perisian PRECIS hanya dikeluarkan melalui bengkel yang disertai oleh para peserta dari negara berkenaan.
Tambah beliau, perisian itu sudah dibangunkan di Asia Tenggara pada Ogos tahun lalu dan ia boleh didapati melalui laman web http://precis.metoffice.com atau e-mail iaitu precis@ metoffice.gov.uk.

Tuesday, October 2, 2007

Kincir angin di Pulau Layang-Layang

TIDAK ramai yang mengetahui, di Pulau Terumbu Layang-Layang di Sabah, terdapat kincir angin untuk menjana kuasa elektrik bagi kegunaan kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan resort di sana.
Ia merupakan yang pertama dibina di negara ini. Kincir itu - setakat ini - mampu menampung beban elektrik sedia ada meliputi pelbagai pam, motor, peti ais dan lampu.
Kata seorang penyelidik sistem tenaga angin di Pusat Tenaga Malaysia, Ahmad Shadzli Abdul Wahab: "Sistem tenaga angin yang mendapat tiupan yang cukup di pulau itu, berupaya menjana tenaga elektrik manakala lebihannya digunakan untuk mengecas bateri dan menjalankan proses penyulingan air laut, kalau perlu.''
Katanya, jika angin bertiup perlahan, set jana kuasa diesel akan mengambil alih tugas-tugas penjanaan elektrik secara automatik oleh sistem bateri selama antara lima hingga 10 minit.
Katanya, apabila angin kuat semula, sistem komputer akan menghentikan operasi set janakuasa diesel secara serta-merta dan menyambungkan tenaga tersebut terus ke grid sebelum disalurkan kepada pengguna.
"Sebuah kipas biasa yang mempunyai ketinggian 30 meter mampu menambah kelajuan angin jika mempunyai ketinggian yang lebih dari itu.
"Lebih-lebih lagi jika tiada halangan seperti bukit, pokok-pokok dan bangunan tinggi yang boleh mengurangkan kelajuannya,'' katanya.
Had laju angin juga banyak bergantung kepada panjang bilah kipas yang biasanya berukuran 12 meter sekaligus menjana lebih banyak tenaga elektrik, jelasnya.
Ahmad Shadzli memberitahu, satu unit turbin angin boleh menghasilkan daripada sekecil-kecilnya 0.5 kilowatt (kw) elektrik kepada sebesar-besarnya 1,000 kw.
"Secara purata, sesebuah kawasan yang mempunyai tiupan angin antara lima hingga tujuh meter sesaat boleh dianggap berpotensi untuk penjanaan tenaga.
"Kelajuan angin hendaklah mencapai sehingga 13 meter sesaat supaya dapat menghasilkan 300 kw elektrik seminit bagi setiap unit kipas,'' katanya.
Keseluruhan pengendalian sistem tenaga angin terdiri daripada loji jana kuasa diesel, komputer, bateri dan kipas. Sistem tenaga angin ini amat sesuai digunakan di kawasan kepulauan. Ini kerana penjanaan elektrik menggunakan diesel akan mengalami masalah setiap kali musim tengkujuh.
Kebetulan pula, tambahnya, tiupan angin yang kencang di negara ini - terutama pada musim tengkujuh (bermula November hingga Februari) - adalah memadai untuk menjana tenaga elektrik.
Menurutnya, kawasan Pantai Timur yang menerima angin dari Laut China Selatan mempunyai tiupan angin lebih kencang berbanding Pantai Barat yang terlindung oleh Kepulauan Sumatera.
Ahmad Shadzli berkata, had laju angin berkait rapat dengan topografi muka bumi dan alam sekitar. Antara ciri-ciri yang mempengaruhi kelajuan angin termasuk kedudukan setiap unit kipas. Lebih tinggi kedudukan kipas tersebut, lebih banyak kuasa yang mampu dijana kerana lebih laju pusingan kipas.

Krisis tenaga perlu penyelesaian mesra alam

Sempena Mesyuarat Ekonomi Utama Mengenai Keselamatan Tenagan dan Perubahan Cuaca di Washington AMERIKA Syarikat menjadi tuan rumah Mesyuarat Ekonomi Utama Mengenai Keselamatan Tenaga dan Perubahan Cuaca, satu lagi inisiatif untuk mencetus kesedaran di kalangan warga dunia mengenai perubahan cuaca yang kini menjadi agenda utama generasi masa kini. Mesyuarat di Washington hari ini dan esok adalah perjumpaan pertama disertai 17 kuasa utama ekonomi dunia, dan beberapa negara membangun dan sedang membangun, di samping penyertaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kuasa Usaha Amerika Syarikat ke Malaysia, David B Shear, berkata inisiatif terbaru antarabangsa ini disokong pemimpin G-8 dan pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang bermesyuarat di Sydney, Australia, awal bulan ini. "Mesyuarat di kalangan negara ekonomi dunia itu minggu ini, dijangka dapat memulakan gerakan untuk mencari penyelesaian krisis perubahan cuaca ini dengan lebih mantap. Semua negara peserta di mesyuarat ini mewakili 85 peratus ekonomi global yang juga mencatat 80 peratus daripada pengeluaran karbon dioksida dunia," kata Shear dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur. Pertemuan di kalangan negara utama dunia itu dijangka memberi sokongan kepada usaha PBB untuk menggabungkan semua kuasa besar dan mencapai konsensus apabila menggaris elemen bagi rangka kerjasama global yang baru, di bawah Rangka Kerja Konvensyen PBB Mengenai Perubahan Cuaca menjelang 2009.
Amerika Syarikat dan beberapa kuasa ekonomi dunia bukan penandatangan kepada Protokol Kyoto yang bermatlamat menstabilkan pengumpulan gas karbon dioksida, ke peringkat yang boleh mengurangkan kesan lebih buruk kepada sistem iklim dunia. Ketika ini, 141 negara mewakili 55 peratus pengeluaran karbon dunia menandatangani protokol itu dan masing-masing berikrar untuk mengurangkan gas beracun itu sebanyak 5.2 peratus menjelang 2012. Amerika Syarikat sebagai pengeluar karbon dioksida tertinggi dunia tidak menandatangani perjanjian itu dengan alasan ia akan menelan belanja terlalu tinggi dan perjanjian itu mempunyai banyak kelemahan. Antara yang menjadi penghalang ialah tindakan mewajibkan pemasangan alat menapis karbon, usaha membina sumber tenaga yang mesra alam dan penyediaan teknologi baru akan menelan belanja besar. Bagi menangani semua halangan itu, Amerika Syarikat mengambil inisiatif sendiri untuk menjadi tuan rumah kepada mesyuarat di Washington, bagi menggariskan sendiri usaha kuasa-kuasa ekonomi dunia untuk menangani krisis yang semakin serius itu. Jika mesyuarat di Washington ini dapat membantu mempercepatkan usaha ke arah menangani krisis perubahan cuaca dan keselamatan tenaga, masyarakat dunia sudah pasti tidak akan membantah kerana niat semua pihak adalah untuk melindungi dan menguruskan bumi yang semakin terancam ini dengan lebih mantap, demi kebaikan generasi manusia akan datang. Shear berkata, sebenarnya negara utama dunia sudah bersetuju bahawa untuk menangani isu perubahan cuaca itu memerlukan kombinasi tindakan yang boleh memberi perlindungan kepada alam sekitar, pada masa yang sama menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan isu keselamatan tenaga dapat dileraikan dengan baik. "Bagaimanapun, semua negara terbabit turut mengaku bahawa perubahan cuaca adalah suatu cabaran yang amat kompleks dan memerlukan penyelesaian jangka panjang. Negara di seluruh dunia sudah pun memulakan usaha dan berkongsi idea untuk mencari penyelesaian teknologi yang boleh mengurangkan gas beracun di atmosfera kita. "Matlamat kita di mesyuarat minggu ini adalah untuk memastikan semua kuasa ekonomi dunia bersetuju dengan elemen utama membabitkan penyelesaian ke arah isu perubahan cuaca dan pemanasan global ini pada 2008. Semua elemen ini perlu dilaksanakan sebelum 2012, termasuk matlamat jangka panjang global dan kajian semula matlamat pertengahan penggal di peringkat nasional," katanya. Jelasnya, mesyuarat dua hari ini diharap memberi penekanan mengenai bagaimana kuasa ekonomi dunia boleh bekerjasama lebih rapat dengan sektor swasta, serta usaha mempercepatkan pembangunan dan penggunaan teknologi yang lebih bersih - komponen paling kritikal untuk memastikan keberkesanan usaha mengurangkan pengeluaran karbon dioksida. "Kami akan menggariskan program kerja bagi sektor utama seperti industri arang batu dan pengangkutan, dan kami dijangka bersetuju untuk memantapkan laporan membabitkan pengeluaran karbon dioksida dan bagaimana kita boleh mengukur pengurangan karbon itu di peringkat korporat," katanya. Shear berkata, selain daripada perbincangan membabitkan keselamatan tenaga dan perubahan cuaca, mesyuarat berkenaan akan turut menyentuh peluang dan keutamaan mendapat laporan kemajuan selepas 2012, di samping mengenal pasti usaha mendesak bagi lebih banyak penyelidikan dan pembangunan teknologi kuasa yang lebih bersih. "Selain agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan akan turut menyertai mesyuarat ini. Kami berharap mendengar mengenai cabaran yang mereka hadapi, teknologi yang sedang diguna pakai, teknologi yang sedang dibangunkan, dan bagaimana untuk menangani cabaran membiayai semua kos pada masa depan," jelasnya mengenai mesyuarat yang akan dihadirinya. Tegasnya, rangka kerja pasca 2012 patut memastikan penyertaan semua negara dan mengenal pasti kepelbagaian penyelesaian, serta pendekatan yang boleh diambil setiap negara berasaskan kepada keperluan dan sumber mereka untuk menangani krisis perubahan cuaca. "Daripada mengambil satu pendekatan untuk semua, kita akan mencari jalan yang lebih fleksibel, inovatif dan kerja sepasukan pada skala global. "Sekiranya kuasa ekonomi dunia boleh bersetuju dengan satu arah saja untuk ke hadapan, konsesus yang bakal dicapai boleh membantu mempercepatkan prospek perjanjian yang lebih luas melalui PBB," katanya mengenai cabaran besar untuk menangani krisis perubahan cuaca yang memerlukan perubahan dalam pembangunan sumber tenaga yang lebih mesra alam.

Sunday, September 30, 2007

PM : Renewable Energy


KUDAT: Use the forces of nature to harness alternative and renewable energy for villagers, said the Prime Minister. Noting that sunlight, wind and water were plentiful in remote areas, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi said it only made sense to use them to generate electricity for rural communities. Launching the country's first High Impact Rural Development Programme in northern Pulau Banggi, some 300km from Kota Kinabalu yesterday, Abdullah said conventional power generation systems for rural communities were traditionally costly. First of its kind: Abdullah, his wife Datin Seri Jeanne Abdullah and Sabah Chief Minister Datuk Musa Aman (right) looking at a model of the agripolitan project site in Pulau Banggi on Saturday."Rural electrification is too expensive," he said, adding that generating power using solar cells and wind turbines in remote locations was viable in the face of escalating diesel and petrol prices. He told reporters later that although Malaysia would have to import such equipment for now, the country has the capability of developing its own technology as there were already plants producing solar cells in the country. Abdullah said he was pleased that the RM167mil agripolitan scheme on the 440sq km island was the nation's first high impact rural development programme incorporating hybrid solar power generation. Noting that a component of the scheme was the setting up of 4,000ha of rubber plantations for the hardcore poor on the island, he said other agriculture-related activities should also be emphasised. The Prime Minister said villagers should not measure development just by the number of industries established in their localities. "Do not look down on agriculture," said Abdullah, adding that the Banggi islanders' involvement in diverse activities including tourism and aquaculture through the scheme would serve as an example of Malaysia's innovative approach in tackling rural poverty.

Tuesday, September 25, 2007

200 negara setuju hapus bahan kimia ancam ozon

MONTREAL 23 Sept. – Hampir 200 negara telah menyatakan persetujuan untuk mempercepatkan penghapusan bahan kimia yang mengancam ozon dan memburukkan lagi pemanasan global, lapor Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), semalam.
Pengarah UNEP, Achim Steiner menandatangani perjanjian tersebut dengan ketua-ketua kerajaan terbabit bagi pengharaman pengeluaran bahan kimia hydrochlorofluorocarbons (HCFC).
Pengharaman itu merupakan satu isyarat mustahak dalam usaha memperlahankan perubahan iklim dan pemanasan global.
“Ia barangkali perkembangan yang paling penting dalam proses rundingan persekitaran antarabangsa sekurang-kurangnya untuk tempoh lima atau enam tahun ini.
“Kerajaan mempunyai peluang yang cerah untuk bekerjasama dalam menangani masalah berkembar iaitu perubahan iklim di samping melindungi lapisan ozon yang kian menipis,” katanya.
Perjanjian itu dicapai sewaktu para pemimpin dunia bersiap sedia menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang antara lain cuba membentuk perjanjian sejagat dalam menyelesaikan masalah gas rumah hijau.
Menerusi persetujuan itu, negara maju akan melalui fasa tanpa menghasilkan HCFC pada 2020 manakala negara membangun bermula pada 2030.
Tempoh itu adalah 10 tahun lebih awal daripada perjanjian terdahulu.
Perjanjian tersebut telah merombak jadual yang dibuat pada 1987 di bawah Protokol Montreal, bertujuan untuk menyingkirkan penggunaan HCFC dan bahan kimia berkaitan yang selalu dijumpai dalam peti sejuk dan penyembur rambut.
– AFP