ALLAH menjadikan bumi ini sebagai tempat berlindung sementara selagi manusia masih hidup. Manusia pula perlu mengkaji untuk menggunakan segala khazanah atau sumber yang disediakan oleh Allah untuk kemaslahatan umat.
Ini kerana semua yang dijadikan Allah di muka bumi ini mempunyai tugas dan matlamat tertentu.
Ini bertepatan dengan firman Allah: Dia menundukkan untukmu apa-apa yang di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya (sebagai kurnia) daripada-Nya. Sungguh pada demikian itu beberapa ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir. (Al-Jaatsiyah: 13).
Bagi mengupas persoalan sumber tenaga alternatif, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, AZLI AHAD menemu bual Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman.
UTUSAN MALAYSIA: Apakah kaitan penggunaan tenaga dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020?
PROF. DR. YUSOF: Secara umumnya, semua orang menyedari kepentingan tenaga dalam hidup manusia. Ini kerana tidak ada objek yang boleh bergerak tanpa tenaga. Sebab itu, antara kriteria negara maju ialah ia mesti ada pergerakan yang banyak seperti pergerakan kenderaan yang banyak.
Dalam masa yang sama, untuk mencapai perkara itu kita mesti mempunyai sumber bekalan tenaga yang mencukupi. Namun, tenaga yang kita peroleh selalunya bukan dalam bentuk yang terus boleh digunakan. Manusia kena berfikir bagaimana hendak menggunakannya. Contoh, untuk mendapat bekalan tenaga daripada kayu api kita perlu membakarnya.
Apakah antara faktor yang mendorong kepada peningkatan permintaan terhadap tenaga masa kini?
Dulu, kita menggunakan otot binatang seperti lembu, gajah dan kerbau untuk mendapat tenaga dalam mengerjakan sawah bendang namun apabila semua ini diganti dengan penggunaan mesin secara meluas maka keperluan terhadap tenaga semakin bertambah.
Revolusi Industri turut membawa kepada perpindahan daripada penggunaan otot atau kudrat bagi mendapat tenaga kepada penggunaan mesin yang memerlukan bekalan elektrik. Secara mudahnya, ada korelasi antara peningkatan jumlah penduduk dengan pertambahan penggunaan tenaga.
Adalah dijangka permintaan terhadap tenaga akan terus meningkat di mana dianggarkan penduduk dunia berjumlah kira-kira 8 bilion pada tahun 2050. Apa yang menjadi kebimbangan ialah sumber tenaga di perut bumi seperti minyak dan gas ini adalah terhad. Ia tidak boleh ditanam semula atau diganti.
Dunia sudah mula merasai kesan pemanasan global akibat penggunaan tenaga yang semakin banyak. Apakah alternatif dalam hal ini?
Apabila kita menggunakan terlalu banyak tenaga, ia menyebabkan pemanasan udara seterusnya membawa kepada peningkaan suhu dunia. Malah, suhu dunia kini meningkat sebanyak
8°C. Dalam tempoh 100 tahun, paras air laut global meningkat antara 10 ke 25 sentimeter akibat pemanasan haba.
Natijahnya, kita dapati beberapa negara seperti Amsterdam di Belanda kini berada di bawah paras laut. Dunia juga mengalami 12 kali suhu yang amat panas sejak 15 tahun dalam tempoh 145 tahun lepas.
Glasier (kawasan berais) di Alaska turut cair yang mana jumlahnya menurun sebanyak 610 meter pada tahun 2004 berbanding tahun 1941. Di Argentina juga menunjukkan senario yang sama yang mana glasier Upsala pada tahun 1928 hampir lenyap pada tahun 2004.
Sebab itu banyak negara kini mula mencari sumber tenaga alternatif yang mesra alam. Ini pun ada kekangan kerana kita terpaksa mengimportnya menyebabkan kita bergantung kepada orang lain. Selain itu, ia meningkatkan pergantungan kepada politik antarabangsa. Apabila berlaku krisis, maka kita akan mengalami kesannya. Contohnya, pergantungan kepada minyak dari Iraq terjejas apabila negara itu dikenakan sekatan ekonomi.
Jadi, sumber tenaga alternatif yang paling popular masa kini ialah tenaga suria.
Ada pihak yang meragui keupayaan tenaga suria selain beranggapan kosnya lebih mahal. Benarkah tanggapan begini?
Sumber tenaga ada empat iaitu suria, biojisim, air pasang surut dan nuklear. Sebenarnya, masyarakat kita sudah pun menggunakan tenaga suria tetapi ia lebih kepada penggunaan air panas untuk mandi dan juga udara panas untuk mengeringkan sesuatu seperti tembakau, koko dan sebagainya.
Jadi, apa yang perlu dipergiatkan kini ialah memperluaskan penggunaan teknologi tenaga suria ini agar ia mencapai tahap kos efektif. Kita sudah ada teknologi untuk menukar tenaga matahari kepada haba.
Negara maju seperti Jepun, telah lama menggunakan tenaga suria kerana menyedari bahawa sumber tenaga sedia ada adalah terhad. Malah, kerajaan Jepun memberi insentif kepada pihak yang melabur untuk menghasilkan tenaga suria yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan umum.
Kos memang satu masalah tetapi ia tidak sepatutnya menghalang kita membangunkan teknologi suria. Analoginya mudah, umum mengetahui kereta mewah mencecah harga RM500,000 sebuah tetapi masih ramai rakyat Malaysia yang mampu membelinya.
Kos tidak boleh dijadikan penghalang kita membangunkan teknologi ini. Malaysia mempunyai sumber alam yang banyak. Apa yang perlu dibuat ialah duduk berbincang mencari jalan bagaimana memajukan sistem tenaga solar.
Apakah antara teknologi solar yang sedia ada di Malaysia?
Selama ini kebanyakan proses pengeringan tanaman seperti padi dan tembakau dibuat menggunakan diesel. Bagi produk seperti ikan bilis, lada dan pisang, ia menggunakan sistem pengeringan terbuka bersimen.
Kita mempunyai beberapa teknologi tenaga solar yang boleh dimanfaatkan untuk mengambil tempat kaedah-kaedah pengeringan hasil pertanian yang sedia ada. Sebelum ini, kita menggunakan Pengumpul Plat Datar di bumbung rumah atau bangunan bagi mendapakan tenaga solar.
Kini, kita mempunyai Sistem Pengeringan Suria Olakan Tabii yang intensif buruh. Selain itu, UKM juga telah membangunkan Sistem Pengeringan Suria dengan Pengumpul Lekuk-V dan Sistem Pengeringan Suria Nyah Lembapan. Sistem ini mengurangkan kelembapan sebanyak 80 peratus dan ia juga boleh digunakan untuk mengeringkan produk herba.
Kita juga membangunkan Sistem Pengeringan Fotovoltan (PVT) yang menukarkan cahaya matahari untuk menghasilkan elektrik. Ia bagi membekalkan haba sama ada air atau udara panas. Sistem ini boleh digunapakai secara meluas di Malaysia hanya dengan sedikit pengubahsuaian.
Teknologi-teknologi ini mempunyai peratus kecekapan yang baik. Apa yang lebih penting, ia adalah sumber tenaga percuma. Sistem PVT ini juga boleh digunakan di bangunan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kajian mendapati ia boleh menjimatkan kira-kira 25 peratus elektrik dari segi penggunaan lampu.
Sambutan terhadap penggunaan sumber tenaga alternatif di negara kita masih dingin walaupun kita sudah membangunkan banyak teknologi tempatan. Apa sebabnya?
Kita perlu mewujudkan kesungguhan dari segi politik yang menggalakkan masyarakat menggunakan sumber tenaga alternatif. Ini perlu disertakan dengan mekanisme untuk membeli alat yang diperlukan bagi tujuan tersebut.
Kajian mendapati 25 peratus perbelanjaan pengusaha hotel adalah untuk penggunaan air panas. Jumlah ini mampu dikurangkan dengan penggunaan tenaga solar jika pihak terbabit mengambil serius mengenainya.
Selain itu, program mendidik masyarakat untuk menukar minda mereka kepada penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam perlu diperkukuhkan. Di negara-negara maju seminar dan bengkel adalah aktiviti harian dan segala hasil atau resolusinya diterima pakai untuk kesejahteraan manusia.
Ini bertepatan dengan suruhan Allah agar manusia ini mendapatkan nasihat daripada golongan yang berilmu sebagaimana firman-Nya: Adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu? (Tentu tidak). Hanya yang menerima peringatan ialah orang yang berakal. (Az-Zumar: 9)
Ada yang beranggapan sains tidak harus dikaitkan dengan agama. Apa pandangan Prof.?
Pandangan sedemikian tidak tepat. Sains adalah kemampuan untuk mencerap tabie alam atau ilmu yang membolehkan seseorang memahami tabii alam secara objektif, sistematik dan rasional dengan kaedah tertentu yang diperantikan untuk mewujudkan penumpuan pengetahuan yang boleh dipercayai.
Sejarah turut membuktikan bahawa saintis terkenal zaman lampau adalah terdiri daripada orang Islam seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan juga Ibnu Rushd. Sains tanpa agama dikhuatiri mendorong kepada terbina manusia yang hilang peradaban dan akhlak. Ini kerana sains semata, tidak pernah tanya tenang nilai-nilai kemanusiaan.
Dalam Islam, sains adalah sebahagian daripada cabang ilmu fardu kifayah yang perlu dipelajari.
(by Istiqomah Muhammad Chaerun & Nurul Hidayah Sulong)
No comments:
Post a Comment