Friday, August 31, 2007

Teknologi bahan api logam lawan hidrogen

Oleh AZMAN ANUAR

(Wartawan Utusan)
LOGAM zink, magnesium dan aluminium yang selama ini dianggap bukan pengalir terbaik, sebenarnya mampu memberi sumber tenaga baru kepada kehidupan manusia pada masa akan datang.

Revolusi industri memberi kepada manusia warisan pencemaran bahan api daripada arang batu hingga penggunaan gas dan minyak. Memang sejak berdekad lamanya, selepas arang batu - minyak dan gas adalah sumber tenaga dan bahan api kepada manusia.

Namun sampai bila manusia perlu bergantung pada bahan api yang semakin berkurangan itu?

Ada pihak yang berpendapat sumber tenaga masa depan ialah hidrogen. Ini kerana ia boleh dihasilkan dengan mudah dan dikatakan sebagai pilihan bagi mengganti tempat minyak, gas dan arang batu.

Tetapi syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bertapak di Cyberjaya, InventQjaya Sdn. Bhd. telah mereka cipta sumber bahan api baru yang lebih selamat daripada hidrogen.

``Kami berfikiran berlainan. Bahan api untuk masa depan ialah magnesium, zink dan aluminium,'' kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif InventQjaya, Dr. Sadeg Mustafa Faris kepada peserta seminar Teknologi Masa Depan di Persidangan dan Pameran Elektrik Asia Barat, Dubai, 15 Februari lalu.

Berbanding dengan tenaga hidrogen, ia mudah terbakar dan kosnya amat tinggi untuk dihasilkan. Ia perlu disimpan pada tempat yang selamat. Hambatan ini menjadi isu apabila orang terlepas perhatian ketika melabur dalam teknologi tenaga hidrogen.

Untuk mengatasi masalah ini InventQjaya mampu mengubah cabaran ini dengan menggunakan teknologi bahan api logam berasaskan aluminium, zink dan magnesium.

Satu lagi masalah ialah kos. Komponen bahan api logam hanya menggunakan oksigen dari udara untuk hidrosidakan gelung dawai. Komponen ini juga menggunakan bahan yang murah. Dengan ini kita boleh bayangkan generator ini boleh diagih dan digunakan oleh semua orang.

Sadeg menjangkakan sumber tenaga logam ini akan diterima oleh pengguna apabila ia dapat dikeluarkan secara komersial dalam tempoh 10-12 tahun lagi. Beliau yakin generasi akan datang akan sedar keperluan sumber tenaga yang tidak berbahaya dan selamat.

Apabila penggunaan bahan api yang digunakan masa kini mencemarkan alam sekitar dan mempunyai risiko jika berlaku kebocoran, maka manusia `berperang' untuk mencari bahan api yang lebih selamat.

Inilah penyelesaian tenaga melalui inovatif InventQjaya yang melakukan revolusi bahan api logam.

Sumber tenaga biasa bergantung pada bahan api gas, minyak, arang batu dan lain. Lazimnya proses mendapatkan tenaga daripada bahan api normal adalah melalui tenaga air, tenaga turbin, tenaga mekanik dan kemudian baru kita mendapat tenaga elektrik dan tenaga cahaya. Jadi setiap hari semakin banyak penggunaan, kian banyak manusia kehilangan sumber tenaga.

Untuk itu, InventQjaya menerokai teknologi bahan api baru yang boleh menjimatkan beratus bilion ringgit. Bayangkan betapa banyak pembaziran dilakukan untuk mendapat tenaga daripada gas dan minyak.

Manusia tidak perlu lagi menghasilkan tenaga menggunakan banyak perantara yang menyebabkan banyak tenaga hilang ketika melalui proses penghantaran tenaga. Cara mudah ialah melalui teknologi InventQjaya yang dapat terus menghasilkan tenaga tanpa perantaraan.

Keistimewaan sumber tenaga baru daripada logam ini ialah ia tidak menjadi punca pencemaran sebaliknya lebih mesra alam dan pelbagai guna. Malah aluminium terbuang juga boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga.

Potensi bahan api logam sebagai bahan api baru dibuktikan oleh Sadeg melalui uji kaji mudah. Dengan menggunakan kepingan aluminium pembalut makanan yang disambungkan dengan dawai pengalir kepada kad membran pertukaran hidrosida yang dipanggil generator, 12 motor kipas dapat berputar dengan baik.

Menurut Sadeg, tenaga elektrik itu diperoleh daripada aluminium dan udara yang bertindak sebagai oksida. Uji kaji itu juga dilakukan pada tin minuman diperbuat daripada aluminium.

Teknologi kuasa kad membran ini hanya diketahui ciptaannya oleh InventQjaya.

InventQjaya, syarikat penyelidikan sains dan teknologi yakin sumber tenaga masa depan manusia akan bergantung pada bahan api tidak mudah terbakar. Jika bahan api ini dikomersialkan, mungkin penggunaan petroleum dan gas boleh dikurangkan dan penggunaan bahan api logam yang dicipta oleh InventQjaya mampu membantu keperluan sumber tenaga akan datang.

Ini kerana bahan api logam ini berasaskan logam dan udara. Malah alat yang dipanggil `generator kecil' oleh Sadeg dilihat seperti sebuah bateri menggunakan hanya zink dan udara.

Bateri InventQjaya EPM 100 ini boleh dicaj semula dan diisi semula bahan apinya, dan tenaganya boleh disimpan. Proses untuk mengisi semula bahan api hanya mengambil masa sepantas lima saat. Ia mesra alam.

Kegunaan bahan api bateri zink-udara ini bertindak sebagai tenaga bantuan dan pengalir elektrik. Bahan asasnya ialah ia mempunyai katod, bahan api logam dan elektrolit. Tiada limit penggunaannya.

Generator itu sesuai untuk kegunaan di rumah terutama kawasan di luar bandar yang ketinggalan bekalan elektrik atau digunakan sebagai sumber tenaga bantuan sewaktu kecemasan.

Begitu juga satu lagi bahan api ciptaan InventQjaya yang menggunakan logam magnesium. Penggunaannya mudah, plat magnesium dicampur air garam untuk proses mengecaj, kemudian ia sudah sedia memberi bekalan elektrik berkuasa 2 watt.

Jika tidak digunakan, plat magnesium perlu dikeluarkan untuk dibersihkan. Jika ingin menggunakannya semula, masukkan air garam untuk mengoksidakan magnesium, kemudian ia sedia untuk memberi tenaga elektrik.

Bagi generator bersaiz 150 watt ia mampu membekalkan tenaga untuk tempoh tujuh hari bagi kegunaan lampu untuk tiga hingga empat jam dalam sehari. Oleh sebab ia sesuai untuk pengguna di kawasan luar bandar maka bekalan ini mencukupi untuk penyalaan lampu selama satu minggu.

Bukti masa depan bahan api logam kini tidak wajar dipertikaikan apabila InventQjaya mencipta kereta pertama dunia menggunakan elektrik yang dijana oleh kuasa bateri nikel-zink yang diberi nama MeVictory.

Penggunaan bahan api logam adalah mudah, apabila tenaganya habis, ia boleh dikeluarkan dan ditambah caj.

Sadeg yakin jika teknologi ciptaan InventQjaya yang diusahakan rata-rata saintis muda Malaysia diterima oleh dunia, manusia tidak perlu lagi mencari gali petroleum atau membina empangan hidro untuk mendapat bekalan tenaga elektrik.

Oleh itu harapan untuk generasi abad ke-21 mendapat agihan tenaga secara merata akan tercapai. Dengan demikian, pada masa depan saiz janakuasa elektrik akan bertambah kecil. Tidak perlu lagi janakuasa yang mencemarkan alam, bising dan tidak selamat.

Hasil revolusi sumber tenaga ciptaan InventQjaya, ia lebih sesuai dan praktikal, malah tidak timbul masalah bergelap apabila berlaku terputus bekalan elektrik.

By : Izzatul Husna Mat Noh

No comments: