SAIC belanjakan 100 juta yuan untuk penyelidikan kenderaan guna kuasa bateri
KEHADIRAN model kenderaan alternatif menggunakan gas, minyak masak dan motor elektrik keluaran syarikat permotoran China antara produk automotif yang menjadi tumpuan di Pameran Auto Shanghai, baru-baru ini.
Ia memperlihatkan komitmen syarikat dari China menghasilkan jentera mesra alam dan menjimatkan.Ini membuktikan mereka serius untuk bersaing dengan pengeluar gergasi Eropah dan Jepun dalam pasaran automotif global.
“Industri ini ada pasang dan surut, jika tidak menyertainya secara bersungguh-sungguh, anda akan ketinggalan,” kata Naib Presiden Chery Auto Co, Qin Lihong. Syarikat terbabit ialah pengeluar automotif domestik terbesar di China.
Kerajaan China menggalakkan pembangunan kenderaan alternatif untuk menangani masalah pencemaran dan kebergantungan terhadap import minyak. Ia juga mampu memberikan hasil lumayan kepada negara berkenaan.
Pengeluar automotif China kini menjalinkan kerjasama dengan pembuat kereta asing, menjalankan penyelidikan dengan universiti tempatan dan sokongan makmal kerajaan.
Kereta menghasilkan bahan buangan bersih kini menjadi polisi Beijing selain menjanjikan pelbagai insentif dan pemotongan cukai. Ini membolehkan syarikat automotif asing memindahkan teknologi berkenaan ke negara itu.
“Untuk memindahkan teknologi, kami perlu bekerjasama dengan pengeluar asing dan yakin boleh bersaing dan menghasilkan kenderaan menggunakan kuasa alternatif,” kata Presiden Shanghai Automotive Industries Corp (SAIC), Chen Hong.
Pemerintah China kini mengenakan tekanan hebat terhadap industri automotif, besi dan kilang untuk mempertingkatkan penggunaan sumber kuasa berkesan bagi mengatasi masalah pencemaran.
China melihat kebergantungan mereka dengan sumber minyak dari Asia Barat sebagai kelemahan strategik dan menyebabkan mereka hilang kawalan.
Negara berkenaan kini pengguna kedua terbesar selepas Amerika Syarikat dan jumlah import minyaknya meningkat 14.5 peratus pada 2006 dengan pembangunan ekonominya tumbuh 10 peratus empat tahun berturut-turut.
Lonjakan jualan kenderaan terutama di bandar besar China menyebabkan kualiti alam sekitarnya merosot. Jualan kenderaan meningkat 25.1 peratus sejak tahun lalu iaitu 7.2 juta unit dengan 3.8 juta ialah kenderaan penumpang.
Di pameran Shanghai, SAIC dan Chery memperkenalkan kenderaan sedan eksperimen yang menggunakan kuasa bateri.
Sementara itu, pengeluar automotif ketiga terbesar China, Chang’an Automobile Group Co mempersembahkan kenderaan hibrid elektrik.
Menurut SAIC, bermula tahun depan mereka akan menjual hibrid, sementara Chery perlukan tiga tahun lagi untuk memasuki pasaran.
“Hibrid adalah fokus kami, kenderaan menggunakan kuasa bateri adalah haluan kami,” kata Pengerusi SAIC, Hu Maoyan.
SAIC membelanjakan 100 juta yuan (AS$12 juta) untuk penyelidikan kenderaan menggunakan kuasa bateri.
Chery yang menggunakan kesempatan itu untuk mempamerkan kenderaan alternatif mereka turut optimis mampu menghasilkan kenderaan menggunakan biodiesel.
Bahan bakar berkenaan dihasilkan dari minyak sayuran atau minyak serba boleh sebagai pilihan untuk diproses sebagai tenaga gas atau ethanol.
Tidak dinafikan, pengeluar automotif asing kini turut berperanan dalam penyelidikan syarikat China. General Motors Corp sudah bekerjasama dengan SAIC di Shanghai dan membina tiga bas eksperimen menggunakan kuasa bateri untuk pemanduan dalam bandar.
DaimlerChrysler AG pula menghasilkan tiga bas yang menggunakan kuasa bateri di Beijing menerusi projek mereka dengan Kementerian Teknologi.
Pengeluar asing termasuk GM, Ford Motor Co, BMW AG dan Honda Motor Co turut mempamerkan kenderaan hibrid mereka di Shanghai.
Menurut mereka, kenderaan menggunakan kuasa hidrogen menghasilkan kuasa tanpa pelepasan asap kenderaan. Tetapi ia memerlukan masa hampir sedekad untuk teknologi itu dikomersialkan selain menambah lebih banyak stesen hidrogen.
“Kerajaan China kini turut melihat sumber kuasa lain seperti gas asli dan metana yang diekstrak daripada arang. Ia bukan keputusan yang mudah kerana ia mempunyai kebaikan dan keburukan,” kata Presiden Ford China, Mei-Wei Cheng.
(Nurul Hidayah Sulong & Nur Haniza Zainal)
Monday, August 13, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment