Sunday, October 21, 2007

Nuklear jadi sumber tenaga elektrik menjelang 2020

LANGKAWI 29 Mei — Kerajaan akan menjadikan tenaga nuklear sebagai sumber penghasilan elektrik menjelang 2020, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Datuk Dr Mohd. Ruddin Ab. Ghani.
Menurutnya, sebelum melaksanakannya, rakyat Malaysia akan diberi pendedahan terhadap peranan dan kepentingan nuklear sehingga mereka benar-benar bersedia menerimanya.
Bercakap kepada pemberita selepas mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Perlindungan Sinaran 2007 di sini hari ini, beliau berkata, usaha menyedarkan masyarakat terhadap peranan nuklear telahpun bermula.
Program-program kesedaran seperti bengkel, seminar dan persidangan telah bermula membabitkan pengendali sektor industri dan sektor awam yang terbabit dalam teknologi nuklear.
Mohd. Ruddin berkata, ketika sumber petroleum dan arang batu kian berkurangan, tenaga nuklear boleh menjadi sumber pengimbang bagi memastikan penghasilan tenaga elektrik untuk keperluan negara dan rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata, walaupun kos membina loji nuklear adalah jauh lebih mahal berbanding loji konvensional yang menggunakan petroleum dan arang batu, kos penghasilan tenaga adalah jauh lebih rendah.
Mohd. Ruddin berkata, beberapa negara di rantau ini telah merangka perkara yang sama dan sebagai contoh Thailand akan melaksanakannya menjelang 2021, Vietnam pada 2018 dan Indonesia pada 2016.
“Kita hanya gunakan nuklear untuk tujuan yang baik dan bukan untuk persenjataan. Kita lebih fikirkan soal keselamatan manusia dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, sejak 1960-an, sektor kesihatan telah menggunakan nuklear untuk merawat pesakit menggunakan mesin sinar-x dan sehingga kini kira-kira 2,000 lesen telah dikeluarkan kepada pengendali mesin sinar-x di negara ini.
Persidangan hari ini yang disertai 250 peserta, kebanyakannya terdiri dari sektor industri yang menggunakan teknologi nuklear adalah sebagai langkah awal untuk menyedarkan masyarakat terhadap nuklear.
Persidangan tiga hari itu dianjurkan Agensi Nuklear Malaysia. - Bernama

No comments: