Sunday, October 21, 2007

Pembinaan Makmal Pengawasan Nuklear pertama

ROMPIN 14 Julai – Kerajaan akan membina Makmal Pengawasan Nuklear bernilai kira-kira RM100 juta di Bukit Ibam dekat sini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, makmal nuklear yang pertama di Asia Tenggara dan ke-16 di dunia itu akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Pada masa ini, katanya, kerja-kerja membersihkan tapak makmal seluas 200 hektar itu sedang dijalankan dan projek pembinaannya dijangka dimulakan hujung tahun ini.
‘‘Jika semuanya berjalan lancar, Malaysia akan menjadi negara membangun pertama yang mempunyai makmal nuklear sendiri dan yang pertama di ASEAN,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Bersama Rakyat di padang awam Muadzam Shah di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis. Sementara itu, pada sidang akhbar, Dr. Jamaludin berkata, kemudahan Makmal Pengawasan Nuklear itu akan dikendalikan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
Katanya, antara fungsi penting kemudahan makmal itu ialah mengawasi dan memastikan kegiatan nuklear sedunia adalah selamat serta terkawal kegunaannya bagi tujuan keamanan dan bukan untuk pembangunan senjata nuklear.
Kata beliau, tanggungjawab tersebut akan dijalankan oleh makmal nuklear berkenaan dengan kerjasama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, Austria.
“Ini juga akan menjamin masa depan Malaysia serta rantau ini selamat dan bebas daripada ancaman nuklear,” katanya.
Ditanya mengenai kepakaran mengendalikan makmal itu, beliau memberitahu, makmal itu akan menggunakan 100 peratus tenaga pakar tempatan dan seramai 66 pakar dalam bidang berkaitan telah dikenal pasti.
Beliau berkata, Asia Tenggara akan mempunyai beberapa reaktor nuklear penjana elektrik dalam 10 tahun akan datang.
Katanya, Indonesia akan membangunkan program kuasa nuklear pada tahun 2016 manakala Vietnam dan Thailand masing- masing pada 2018 dan 2021. Tambahnya, kemudahan makmal nuklear itu akan dapat membantu negara lain mencari penyelesaian diplomatik atau membela diri jika perlu.
Menurutnya, Malaysia akan menyampaikan keazaman dalam mencapai hasrat pembinaan makmal itu kepada Ketua Pengarah IAEA, Dr. Mohamed Elbaradi yang akan berkunjung ke Kuala Lumpur pada 17 Julai ini.

No comments: