Sunday, October 21, 2007

PM lancar Recorda Disember

MUKAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melancarkan Wilayah Pembangunan Koridor Sarawak (Recorda) pada Disember, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau berkata, kerajaan negeri sedang memperincikan tarikh pelancarannya yang sebenar. "Di sebalik saiznya yang luas, Sarawak, negeri terbesar di Malaysia, hanya memerlukan satu konsep wilayah pembangunan koridor buat masa ini.
"Recorda akan dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya di sini, semalam. Terdahulu dalam ucapannya, Taib berkata, Recorda yang meliputi Similajau di bahagian Bintulu hingga ke Tanjung Manis di bahagian Mukah, akan membawa banyak manfaat kepada negeri dan penduduknya. "Kawasan itu kaya dengan sumber tenaga daripada arang batu kepada kuasa hidro elektrik. Ia akan menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan tenaga di seluruh negeri dari Miri ke Kuching, malah di kawasan terpencil seperti Tunoh di bahagian Kapit.
"Kita eksploitasi sumber tenaga asli ini untuk memacu pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi dan lebih efisyen dengan pelabur asing. "Mengikut anggaran saya secara kasar, kita mungkin mampu menjana kira-kira 200,000MW (megawatt) bekalan elektrik menjelang 2015," katanya. Taib berkata, dengan pelaksanaan Recorda, populasi di kawasan tengah negeri ini dijangka bertambah kira-kira 200,000 lagi daripada 800,000 sekarang. Ketua Menteri menasihatkan rakyat supaya bersiap sedia untuk memanfaatkan peluang pekerjaan dan perniagaan diwujudkan Recorda.
Beliau mahu pelajar memilih jurusan teknikal, kewangan dan pengurusan supaya boleh menambah nilai perkhidmatan yang akan diberikan oleh mereka kelak. Kepada penduduk luar bandar yang tinggal berselerak di sekitar kawasan Recorda, Taib berkata, mereka patut berkumpul dan pindah ke kawasan yang mudah dihubungi. Beliau juga menggesa rakyat untuk mengekalkan hubungan rapat antara mereka kerana dengan perubahan dan pembangunan yang bakal berlaku di kawasan itu, ia akan turut membawa bersama impak sosial yang baik dan juga buruk. – Bernama

No comments: