Sunday, August 12, 2007

Audit tenaga di bangunan baru kerajaan

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi akan menjalankan audit tenaga terhadap tujuh bangunan kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Hospital Selayang dan kem tentera di Jalan Ipoh bulan depan bagi memastikan kesemua bangunan tersebut menggunakan tenaga secara efisien, kata menterinya Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Katanya program itu akan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha II kementerian itu, Loo Took Gee, yang akan memberikan nasihat-nasihat yang sewajarnya.

"Walaupun dalam ucapan belanjawan yang lepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Kewangan, telah mengumumkan bahawa sebagai permulaan, bangunan-bangunan kerajaan patut mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 10 peratus, saya tidak nampak sebarang usaha diambil ke arah pencapaian matlamat ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bangunan Berlian Suruhanjaya Tenaga di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah pengerusi Suruhanjaya Tenaga Datuk Ir Pian Sukro, pengarah urusan Senandung Budiman Wie Hock Kiong dan Loo.

Sambil menyatakan dukacita beliau terhadap perkembangan itu, Lim berkata: "Saya fikir JKR, kementerian yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja pembinaan bangunan kerajaan patut memberi perhatian kepada isu perlunya perancangan tenaga bagi bangunan-bangunan baru kerajaan."

Bagi bangunan-bangunan lama, katanya, mereka mesti berusaha melaksanaan penggunaan tenaga yang efisien.

Tenaga yang efisien itu, katanya, adalah daripada segi corak dan reka bentuk yang sepadan dengan reka bentuk yang efisien tenaga.

Untuk bangunan-bangunan lama, terdapat peralatan untuk menjimatkan tenaga yang boleh dibeli dan dipasang pada sistem elektrik sesebuah bangunan, yang dapat membantu menjimatkan penggunaan tenaga.

Mengenai bangunan Suruhanjaya Tenaga itu, Lim berkata satu daripada ciri-ciri bangunan baru itu ialah penggunaan tenaga yang efisien dan rendah, dan penggunaan tenaga yang rendah bermakna kurang menggunakan elektrik tetapi ia tetap dapat dikekalkan sepanjang masa.

"Itulah cara yang sepatutnya bagi semua bangunan kerajaan di Malaysia," katanya. BERNAMA

(posted by istiqomah muhammad chaerun)

No comments: