Saturday, August 18, 2007

Hak Rakyat Pedalaman Dapat Kemudahan Asas

Masalah kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan sistem perhubungan masih menjadi agenda utama pembangunan negara khususnya untuk kawasan pedalaman dan luar bandar.

Ketika pembangunan rancak dimajukan di kawasan strategik, jangan dilupakan peluang yang sama patut dinikmati oleh rakyat yang jaraknya jauh dari ‘teropong’ pentadbiran negeri dan Pusat.

Barangkali kemudahan air dan pengangkutan bukan menjadi isu utama di pedalaman kerana mereka punya alternatif lain. Tetapi adalah kesukaran bagi mereka melakukan pelbagai aktiviti harian jika tidak mendapat bekalan elektrik.

Walaupun segelintir masyarakat negara ini masih berada di bawah garis kemiskinan terutama di pedalaman, hak untuk mereka mendapat nikmat pemodenan hasil kemajuan sains dan penggunaan tenaga elektrik, tidak patut dinafikan.

Sebab itu saranan Perdana Menteri supaya penggunaan alam semula jadi sebagai sumber alternatif bagi menjana bekalan kuasa elektrik di kawasan pedalaman dan luar bandar perlu diteroka, ada logiknya.

Sudah lama penduduk pedalaman inginkan bekalan elektrik bagi menyinari kegelapan rumah mereka, sambil menikmati gaya hidup baru sebagai- mana rakyat lain.

Jika Pulau Banggi, Kudat, yang berangin sesuai digunakan kincir angin untuk menghasilkan tenaga elektrik, maka kajian segera wajar dilakukan.

Baik kita lupakan alasan lapuk, bekalan elektrik tidak dapat disalurkan ke kawasan pedalaman kerana masalah jarak jauh dan kos logistiknya mahal. Dengan pelbagai penemuan kajian ahli sains maka tidak mustahil apa yang diharapkan oleh masyarakat pedalaman dan luar bandar di seluruh negara, kini boleh direalisasikan.

Kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berkeadaan seperti negara sebelum merdeka dan tanpa bekalan kemudahan asas, perlu diberi perhatian utama oleh kerajaan dan syarikat korporat yang berkenaan.

Berada di luar bandar atau pedalaman tidak bermakna mereka terus tidak layak mendapat kemudahan asas.

Sepatutnya masalah bekalan elektrik tidak menjadi isu ketika ini yang mana pelbagai cara dan kaedah yang murah boleh digunakan. Perdana Menteri ketika melancarkan Program Lonjakan Mega Luar Bandar dan merasmikan Projek Agropolitan di Pulau Banggi telah membuka mata betapa begitu banyak tenaga sudah kita persia-siakan selama ini.

Selain penggunaan teknologi kincir angin, di kawasan pedalaman lain boleh menggunakan sumber alam termasuk air terjun dan sungai untuk menghasilkan tenaga.

Persoalan sekarang, apa yang dicetuskan oleh Perdana Menteri itu mahu direalisasikan atau dibiarkan ia berlalu begitu saja hingga beberapa dekad akan datang.

Hakikatnya dalam membasmi kemiskinan, hak masyarakat luar bandar dan pedalaman untuk mendapat kemudahan asas – air dan elektrik – yang kita nikmati sejak merdeka 50 tahun lalu, tidak patut dinafikan. (posted by istiqomah)


No comments: