Friday, August 31, 2007

Tiga loji biodiesel MPOB dijangka bernilai RM120j

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Cadangan pembinaan tiga buah loji biodiesel oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan tiga buah syarikat tempatan tidak lama lagi, dijangka melibatkan kos pelaburan RM120 juta.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, tarikh sebenar bagi perlaksanaan itu masih belum ditetapkan dan tiga syarikat itu telah diberikan lesen untuk mengendalikannya.

Fah Kui berkata, setiap loji biodiesel itu mampu menghasilkan 60,000 tan minyak biodiesel setahun.

Beliau berkata, cadangan mengadakan tiga loji itu akan menjadikan jumlah keseluruhan loji yang dicadangkan pembinaannya kepada sembilan buah.

Katanya, penubuhan kesemua loji itu penting bagi negara untuk memenuhi keperluan eksport ke pasaran dunia dan berharap ia dapat mengurangkan penggantungan kepada minyak mentah.

Fah Kui berkata, pembinaan loji itu adalah salah satu inisiatif negara dalam menampung permintaan industri bahan api bio yang semakin meningkat terutamanya di Jerman, Itali, Turki, Korea Selatan dan India.

``Permintaan sejagat bagi biodiesel dijangka mencapai kepada 10.5 juta tan dalam beberapa tahun akan datang dan Malaysia berpotensi untuk 10 peratus daripada pasaran itu,'' katanya pada sidang akhbar sempena Simposium Biodiesel di sini hari ini.

Majlis itu adalah anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) bersama Agensi Tenaga Jerman dalam usaha membawa tenaga pakar tenaga dan biodiesel Jerman ke Malaysia bagi tujuan perkongsian kemahiran, pengalaman serta teknologi biodiesel kepada kedua-dua negara.

Fah Kui berkata, penambahan loji itu dijangka mampu menjadi satu alternatif kepada pemberian subsidi yang diberi oleh kerajaan jika harga minyak terus meningkat.

Katanya, negara memerlukan satu penyelesaian jangka panjang, yang mana mampu untuk menukarkan bahan keperluan kita kepada sektor yang memerlukan, serta menstabilkan perjalanan ekonomi negara pada masa depan.

Katanya lagi, loji itu akan merancakkan pertumbuhan industri biodiesel di Malaysia, bagi menggantikan petroleum dan meningkatkan eksport negara.

by : Izzatul Husna Mat Noh

No comments: