Friday, August 10, 2007

Rumah sejuk jimat tenaga

Oleh Laupa Junus(Wartawan Utusan)

Pada Julai tahun 2001, Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan produk terbarunya, Cool Roof dan hasilnya satu Cool House (Rumah Sejuk) dapat dibina.
Cool Roof itu merujuk kepada satu sistem penyejukan rumah tanpa pendingin hawa yang dikatakan mampu mengurangkan penggunaan tenaga dalam sebuah rumah. Dengan itu suhu dalam rumah lebih selesa.
Produk terbaru itu adalah hasil penyelidikan dua penyelidik UPM iaitu Mohd. Peter Davis dan Nor Azian Nordin.

Menurut Nor Azian, komponen penting dalam sistem tersebut ialah penggunaan bumbung rumah menggunakan besi putih yang dikenali sebagai lysaght mewah tile, kerajang alumunium serta kapas batu (rock wool) sebagai penebat haba.

Nor Azian berkata, UPM kini akan memajukan sistem tersebut dan bercadang membina sebuah rumah contoh jenis Quarter-D Houses (empat buah rumah dua tingkat satu bumbung) dengan setiap rumah mengandungi tiga bilik.

Rumah tersebut yang akan dikenali sebagai Rumah Suhu Selesa merupakan rumah reka bentuk baru yang menggunakan sepenuhnya teknologi Cool Roof tersebut iaitu pada semua bahagian bumbung dipasang dengan sistem berkenaan.

Beliau berkata, matlamat pembinaan rumah tersebut ialah bagi membuktikan keberkesanan sistem Cool Roof yang dipasang pada dua buah rumah contoh sejak setahun lalu.

Katanya, Cool Roof kini sedang diuji di sebuah rumah teres setingkat di Taman Sri Serdang sejak tahun lepas dan sebuah lagi rumah teres dua tingkat di Subang Jaya setahun sebelum itu.
Ujian awal menunjukkan satu keadaan yang selesa diperoleh dalam rumah tersebut selepas bumbung dipasang dengan Cool Roof setebal 15 sentimeter.

``Pemasangan sistem dibuat pada bumbung kerana 80 peratus haba diserap oleh bumbung,'' kata Nor Azian.
Sistem Cool Roof boleh dipasang pada rumah yang sudah siap dengan anggaran kos RM10,000.
Bagaimanapun katanya, ujian tersebut mungkin tidak begitu tepat membuktikan keberkesanan Cool Roof kerana kedua-dua rumah tersebut tidak menggunakan sepenuhnya sistem tersebut pada bahagian bumbung rumah.

``Tambahan pula kita sukar mengawal gerakan atau kegiatan dalam rumah, jumlah penghuni yang tidak kekal serta jumlah tenaga yang dibebaskan daripada penghuni serta peralatan elektrik yang digunakan, tidak dapat dikawal sepenuhnya,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, idea membina rumah tersebut timbul selepas pihaknya berjaya menggunakan sistem yang menunjukkan simulasi dalam rumah yang diperkenalkan oleh Universiti Teknikal Denmark.
Pihaknya memilih universiti berkenaan kerana negara berkenaan merupakan salah sebuah negara yang terkenal dalam projek penjimatan tenaga.
Universiti berkenaan memperkenalkan satu perisian yang dikenali sebagai BSim2002 dengan kos sebanyak RM14,000.

``Dengan kerjasama Universiti Teknikal Denmark, kita berjaya mendapat idea bagaimana hendak hasilkan sebuah rumah berkonsep baru yang kita namakan Rumah Suhu Selesa.
``Melalui program BSim 2002, kita mengenal pasti elemen penting untuk menghasilkan suhu selesa kerana mudah mengawal isi rumah dan mengawal apa juga kegiatan dalam rumah,'' katanya.
Dengan adanya kawalan tersebut, pihaknya dapat menjangkakan pola perubahan suhu dalam rumah sepanjang tahun.

Selain itu katanya, selepas memperoleh profil suhu rumah, pihaknya boleh mengenal pasti faktor lain yang mempengaruhi suhu dalam rumah iaitu dinding, lantai, tingkap, bahan binaan, arah binaan dan keadaan di halaman rumah.
Katanya, suhu yang paling selesa dalam sebuah rumah ialah 280C manakala jika berada di bawah kipas suhunya ialah 300C.

Dengan adanya teknologi baru dalam menjangka keadaan suhu rumah menggunakan perisian Bsim2002, maka suhu di dalam rumah boleh dikurangkan sebanyak 40C.
``Selepas menggunakan sistem ini suhu dapat diturunkan kepada antara 290C dan 300C,'' katanya.
Pendek kata, reka bentuk binaan dan sistem Rumah Suhu Selesa UPM itu akan menggunakan sistem Cool Roof serta hasil simulasi daripada BSim2002.
Rumah ini direka khas untuk menggunakan tenaga secara efisien yang hanya memerlukan kaedah pengudaraan sebelah malam bagi mengekalkan suhu selesa, katanya.
Rumah ini katanya hanya memberikan 1.7 unit ketidakselesaan suhu terutama di tingkat atas berbanding 18.7 unit bagi rumah teres biasa.

Ia mampu mengekalkan suhu di dalam rumah dengan hanya tambahan RM12 bagi kos elektrik sebulan dengan suhu rumah pada 300C. Ini berlainan dengan rumah teres biasa yang memerlukan kos yang tinggi untuk mewujudkan suhu yang sama.

Menurut beliau, kajian untuk mewujudkan satu sistem penjimatan tenaga dan menghasilkan suhu selesa dalam rumah bermula sejak 14 tahun lalu.
Kajian awal daripada rumah kampung mendapati haba panas dalam rumah dikesan pada waktu siang yang kemuncaknya berlaku antara 10 pagi dan 4 petang tetapi bertukar sejuk pada waktu malam. Ini berlainan dengan rumah teres yang sentiasa dalam keadaan panas dan hanya selesa untuk 5 jam sahaja.
Daripada kajian mendapati, profil suhu persekitaran adalah berbeza iaitu suhu selesa dapat dirasai lebih daripada 14 jam, terutamanya pada waktu malam. Dengan kelebihan itu, ia memberi kita idea untuk menukar udara panas di dalam rumah dengan udara sejuk persekitaran.
Justeru Rumah Suhu Selesa itu bukan sahaja mengambil kira bumbung sebagai penebat haba tetapi bahagian lain seperti bahan binaan, tingkap dan arah kedudukan juga memainkan peranan dalam proses penghasilan Rumah Suhu Selesa.

``Faktor dinding pula tidak kurang pentingnya kerana dinding yang mempunyai kapasiti haba yang tinggi serta bertebat, kerana ia akan bertindak sebagai penampan dan menghalang kenaikan suhu secara tiba-tiba iaitu pada waktu malam udara sejuk dari luar akan disedut masuk untuk menggantikan udara panas yang terperangkap di dalam rumah,'' katanya.

Rumah tersebut katanya dijangka siap pada 2004 dan dianggarkan bernilai RM45,000 (tidak termasuk harga tanah dan juga infrastruktur yang utama).

1 comment:

Hafiz said...

salam saya plajar politeknik kota bharu,saya ingin membuat tesis tentang rumah sejuk ini.boleh x saya nk dapatkan detail tentang pembinaan rumah sejuk??