Friday, August 10, 2007

Potensi kilang sawit jana elektrik dikaji

Oleh : watie@mpob.gov.my

KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menghantar pasukan penyelidik ke Sarawak untuk mengkaji potensi keupayaan industri sawit menjana tenaga kuasa sebagai langkah menangani masalah kekurangan bekalan elektrik di negeri itu.Menterinya, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Kebangsaan Pengilangan Minyak Sawit, Teknologi Penapisan, Kualiti dan Alam Sekitar 2006, anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini baru-baru ini.

“Kita akan melakukan penyelidikan bagi tujuan itu yang secara langsung membabitkan sektor hiliran industri sawit terutamanya bagi penghasilan tenaga elektrik dari bahan buangan sawit seperti tandan kosong buah sawit dan tempurung isirung sawit.”Datuk Peter Chin menjelaskan perkara itu sebagai reaksi pertamanya kepada saranan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud supaya kajian dilakukan ke atas potensi penjanaan kuasa elektrik dari biomas sawit untuk penduduk negeri Sarawak terutama di pedalaman ketika berucap merasmikan seminar.

Beliau berkata, kajian itu juga satu alternatif bagi menjana elektrik secara lebih luas untuk manfaat penduduk di kawasan pedalaman Sarawak .Tambahnya, kerajaan melalui MPOB dan swasta bersedia menjalankan kajian situasi dan potensi kemudahan yang boleh dieksploitasi daripada industri sawit bagi menjana kuasa elektrik di Sarawak.Datuk Peter Chin berkata, pada kebiasaannya, kilang sawit dilengkapi dengan kemudahan penjana elektrik dan sesetengah kilang sudah pun menggunakan bahan buangan sawit sebagai penjana tenaga itu. Lebihan tenaga yang dijana boleh dijual kepada Perbadanan Pembekalan Elektrik Sarawak (SESCo) untuk disalurkan kepada penduduk.”“Pelabur boleh membantu merealisasikan projek itu melalui pembinaan grid bagi membolehkan bekalan tenaga elektrik disalur kepada penduduk berhampiran kompleks kilang sawit kerana pembinaan grid mebabitkan kos tinggi,” katanya.

No comments: