Friday, August 17, 2007

translate..PM: Teroka tenaga alternatif

KUDAT 11 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu penggunaan alam semula jadi sebagai sumber alternatif menjana bekalan kuasa elektrik diteroka khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya semua pihak berusaha memanfaatkan sumber alam semula jadi itu di kawasan yang sesuai sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Beliau menarik perhatian mengenai kedudukan Pulau Banggi di sini yang mempunyai tiupan angin kencang sepanjang masa dan sesuai untuk dibina kincir angin bagi menjana kuasa elektrik.
‘‘Kita perlu menggunakan kincir angin untuk menghasilkan tenaga sebagai alternatif. Jika berjaya, ia boleh dikembangkan di tempat lain.
‘‘Ini kerana membina sistem bekalan elektrik di tempat yang jauh, terpencil amat mahal,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Lonjakan Mega Luar Bandar dan merasmikan Projek Agropolitan Pulau Banggi hari ini.
Ketika ini penjanaan tenaga elektrik 12 jam dibekalkan kepada penduduk di Pulau Banggi menggunakan set generator manakala beberapa buah solar hibrid baru dibina sebagai tambahan.
Abdullah berkata, selain kincir angin, penduduk luar bandar boleh terus menggunakan konsep solar hibrid yang juga lebih sesuai, mudah dan murah.
Jelas beliau, pada peringkat permulaan, penyediaan peralatan kincir angin mungkin agak mahal kerana teknologinya perlu diimport dari luar negara tetapi jika penggunaannya semakin meluas, tentu ia akan menjadi lebih murah.
‘‘Kita import dahulu dan lama-kelamaan kita boleh menggunakan kepakaran kita sendiri dan mungkin juga kita dah ada sendiri (peralatan),” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan penggunaan teknologi kincir angin juga akan mengalami perubahan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa sehingga ia benar-benar dapat memanfaatkan penduduk yang jauh dari bandar.
Begitu juga, katanya, dalam aspek penyediaan bekalan air bersih di kawasan pedalaman boleh dimajukan dengan pelbagai alternatif bersesuaian dan ada yang telah berjaya diperkenalkan di beberapa kawasan di negara ini.

No comments: